Latar belakang Baba Ismail Sepanjang

Ismail dilahirkan pada 1955 di Kampung Dusun Sepanjang, daerah Penare (Penarik), Pattani. Kampung tersebut terletak kira-kira 20 km dari Bandar Patani. Beliau merupakan anak bongsu dan anak lelaki tunggal dalam kalangan 3 beradik[2]. Bapanya bernama Wan Umar bin Wan Abdul Latif bin Wan Abdul Karim, manakala ibunya Siti Khadijah binti Ismail. Kedua-duanya berasal dari Patani, tetapi keturunan ibunya berasal dari Johor, Malaysia.

Pendidikan

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kampung Dusun Sepanjang. Kemudian, beliau menyambung pendidikan di pondok berdekatan rumahnya ketika berusia 14 tahun. Beliau dihantar belajar agama oleh keluarganya dengan Tuan Guru Haji Abdul Latif. Selain itu, beliau juga berguru dengan Tuan Guru Haji Abdul Rahman dengan mendalami pelbagai ilmu Islam dan bahasa Arab seperti Tafsir, Hadis, Fiqah dan Nahu. Beliau turut belajar di pondok lain sekiranya cuti semester.

Ketika berusia 21 tahun, beliau berpindah ke Pondok Syeikh Abdul Qadir Haji Wangah (Baba Der Sekam) yang terletak di Kampung Wakaf Budi, Sekam, Pattani. Pondok tersebut dikenali dengan pembelajaran ilmu tauhid. Beliau menuntut ilmu di sana sehingga berusia 30 tahun. Ketika di sana, beliau bukan hanya belajar tetapi turut mengajar di pondok tersebut. Beliau juga mula menerima undangan daripada masjid-masjid untuk mengajar masyarakat sekitar. Antara tempat yang beliau mengajar ialah Masjid Yala (lebih 21 tahun) dan Masjid Patani (lebih 22 tahun).

Berkeluarga

Ketika umur beliau 29 tahun, beliau mendirikan rumahtangga dengan Hajah Sabariah binti Tuan Guru Haji Abdul Aziz. Hasil perkahwinan tersebut, beliau dikurniakan 5 cahaya mata (2 lelaki dan 3 perempuan). Isteri beliau merupakan anak kepada Tuan Guru Abdul Aziz bin Ismail al-Fathani yang merupakan menantu kepada Baba Der Sekam.